Hukuman Kes Rasuah Dikekalkan Oleh Mahkamah Rayuan Malaysia

By shams bangi [014-99 33 SSG] on 11/26/2009 03:27:00 PM

komen (0)

Filed Under:

Mahkamah Rayuan Malaysia telah menolak rayuan jenayah bekas anggota trafik keselamatan apabila mengekalkan hukuman Mahkamah Sesyen di atas pertuduhan seksyen 10(a) Akta Pencegahan Rasuah 1965 iaitu penjara 14 hari dan denda sebanyak RM10,000.00 atau jika gagal, 6 bulan penjara.

Mahkamah Rayuan Malaysia memutuskan sedemikian setelah mendengar hujahan rayuan daripada pihak peguambela Perayu dan pihak Pendakwaraya selama 2 jam dan hukuman dan keputusan dibaca oleh Yang Arif Datuk Sulong bin Mat Jeraei pada jam 12.50 tengahari.

Kedua-dua bekas trafik akan membayar denda tersebut sebagaimana yang dinyatakan oleh ahli keluarga.

Bantuan Untuk Adik NAZIRAH ALIA BINTI NOOR ISMAIL

By shams bangi [014-99 33 SSG] on 11/21/2009 11:39:00 AM

komen (1)

Filed Under: , , , , , ,

Assalamualaikum dan salam sejahtera,


Pada kawan2 mahupun sesiapa yang kenal mohon sedikit sumbangan untuk NAZIRAH ALIA BINTI NOOR ISMAIL

NAZIRAH ALIA BINTI NOOR ISMAIL
Beliau dilahirkan pada 18 Jun 2008, dilahirkan dengan berat badan 2.8kg dan ketika berusia 4 bulan dengan keadaan badan menjadi kering, lendir pada kerongkong yang pekat sehingga tidak boleh menelan susu, serta mengalami cirit birit sepanjang masa. Pada Oktober 2008 Alia disahkan menghidap penyakit CYCTHIC FIBROSIS. CYCTHIC FIBROSIS adalah penyakit genetik dan jarang ditemui di benua asia . Penyakit ini tidak dapat disembuhkan kerana penghidapnya kekurangan satu enzim di dalam badan yang menjejaskan proses respirasi peparu, percernaan usus dan hati. Ini kerana Alia memiliki hati yang saiz lebih besar dan usus yang lebih tebal dari manusia normal, Alia juga perlu disedut kahak dan makan pelbagai jenis ubat setiap hari. Alia juga lemah kepada persekitaran dan mudah dijangkiti penyakit serta kerap masuk wad di PPUM dan perlu dimasukkan anti-biotik khas setiap 6 bulan untuk menyahkan kuman dalam badan. Alia memerlukan pembelanjaan perubatan melebihi RM12,000.00 setiap tahun termasuk ubat khas seumur hidup, rawatanwajib setiap 6 bulan sekali, susu khas dan pelbagai pembelajaan lagi.

Diharap jika ada rakyat Malaysia mahupun negara lain yang prihatin dan simpati pada Alia bolehlah menyumbangkan bantuan kewangan pada bapa NAZIRAH ALIA BINTI NOOR ISMAIL (maklumat lanjut sila runjuk dibawah) bagi membiayai keperluan dan meneruskan kehidupan seperti manusia biasa. Alia yang merupakan penghidap penyakit yang jarang-jarang dijumpai.

Sumbangan ikhlas anda amat di hargai:


Noor Ismail Bin Mohd Ali (bapa Alia) 6012-671 9840
F-03-04 Mentari Court ,
Jalan PJS 8/9, Taman Seri Mentari ,
46150 Petaling Jaya,
Selangor Darul Ehsan.


RHB Bank A/C No : 112-24-6000-4059-2


Bantuan untuk NAZIRAH ALIA BINTI NOOR ISMAIL and sekiranya anda tidak mampu memberi sumbangan, diharap anda menyambungkan email ini kepada rakan-rakan anda. Bantuan anda amat sangat dihargai. Semoga tuhan dapat membalasnya.

Aku & Gajah

By shams bangi [014-99 33 SSG] on 11/19/2009 01:26:00 AM

komen (2)

Filed Under: , ,

Suatu ketika tengah ralik makan. Anak kecil datang ketepi saya dengan buku di tangannya dan menanyakan "cik kalau jadi binatang, nak jadi apa?" Ini semasa saya singgah ke rumah seorang rakan. Belum sempat saya menjawab, kawan mana entah menyampuk. "gajah!"

Sambil senyum, ayat pembelaan dah teratur di kepala untuk balas serangan kawan yang di hujung sana. Masa yang sama, saya melihat anak kecil tadi melihat pada buku gambar-gambar binatang di dalamnya. Belum sempat saya luahkan ayat-ayat pembelaan, saya dengar anak kecil ini kata perlahan, "Gajah, binatang yang amat bijak. Erm..." Saya lihat dia berlalu pergi tanpa memberikan komen mengenainya.

Tiba-tiba peristiwa ini datang di bayangan saya apabila duduk minum ais cendol dan rojak semalam selepas selesai perkara di Mahkamah Ampang. Saya terfikir, gajah ke saya?

Hari ini mungkin dalam masa 2 tahun saya tidak menjejakkan kaki ke Mahkamah Ampang. Tapi saya masih lagi mengamalkan rutin saya, selepas mahkamah selesai saya menjengah di gerai kecil abang Cendol dan kakak Rojak itu. Satu gerai yang agak tersorok tapi disinggahi semenjak saya menjadi peguam.

"Tuan, cendol dan rojak eh!" nyata kakak rojak yang mengambil order. Nampaknya mereka masih ingat saya sebagaimana saya biasa singgah dulu-dulu. Ingatkan mereka tak ingat, kerana saya berpakaian preman. Tetapi bukan kelihatan gangster.

Gajah ke saya?

Rutin binatang adalah ringkas. Mereka mencari makan dalam satu bulatan perjalanan. Ini menandakan satu bulatan perjalanan akan lengkap menandakan lengkap musim pemakanan mereka. Musim mereka.

Rutin ini juga mengelakkan mereka kehilangan atau ketinggalan stok makanan yang ada seterusnya memastikan bekalan berterusan tanpa had dan berjadual tetap. Itu binatang. Ini yang guru Gayong saya bercerita semasa projek menangkap rusa belang putih 2 inci di satu hutan di utara Malaysia. Bila terjumpa kesan makan haiwan itu, maka tunggulah makanan atau pokok itu tumbuh dulu pucuknya dan binatang sama akan datang. Itu memang rutinnya. Maka untuk melengkapkan musim pemakanan tersebut, guru itu terpaksa berjaga di tempat sama selama 15 hari.

Gajah ke saya?

Gajah juga rasanya sedemikian. Cuma lebih sikit mengenai gajah ialah ia pintar dan walaupun nampak agak 'bongok' dari sudut saiz dan tindakan, tetapi binatang ini lebih senang dijinakkan dan diajar. Tetapi ia mampu bertindak luar kawalan walaupun telah dijinakkan.

Pernah lihat tanda-tanda jalan mengenai gajah?.. Pakar haiwan kata, gajah juga bermusim kalau satu kumpulan sudah melalui jalan tersebut pada satu-satu masa, maka masa yang sama di musim hadapan, mereka akan lalui lagi tempat tersebut.

Tidak dihadkan kepada musim pemakanannya tetapi ia juga melibatkan juga penghijrahan yang biasa dilakukan. Maka sebab itu kalau nak buat jalan merentasi hutan yang ada gajah maka kajian perjalanan gajah perlu dibuat takut terpagar kawasan laluannya. Sebab itu ada tanda Laluan Gajah Melintas!

Gajah ke saya?

Di sebalik menungan ini, saya terfikir balik yang secara peribadi saya melingkungi satu bulatan yang mana pada satu masa saya tetap akan singgah satu tempat dan menjadikan ia sebagai laluan saya atau rutin pada satu-satu masa.

Saya malas nak bincang soal De Javu yang selalu saya alami tetapi ini dari sudut realiti kalakuan yang jarang saya amati. Saya tidak kisah soal ini semalam.

Tetapi hari ini saya singgah di Mahkamah Selayang bagi satu urusan kerja di Rawang melibatkan bailif. Dalam perjalanan balik dari Mahkamah Selayang saya 'ter'singgah di tempat Pak Tam, tempat biasa saya singgah selepas habis urusan di Mahkamah Selayang. Tanpa menjadualkan untuk berbuat sedemikian.

Gajah ke saya?

Bulan-Bulan Kesibukan

By shams bangi [014-99 33 SSG] on 11/18/2009 11:02:00 AM

komen (2)

Filed Under: ,

Oktober dan November 2009 agak menyibukan bila dilihat pada diari harian saya. Ada luangan masa yang mampu diketepikan untuk bercuti di tanah tinggi bagi menghirup udara sejuk. Tak tercapai jua bila kerja datang tetiba dan terpaksa didahulukan.

Dengan kesibukan Oktober yang bermula daripada September dengan urusan Sijil Tahunan yang membebankan masa dan kos saya, diteruskan dengan kepadatan jadual yang di luar kebiasaan. Ditambah dengan kerja-kerja di luar kawasan yang lebih membebankan dari sudut kos, masa dan tenaga.

Melihat pada diari ini, kesibukan diluar kebiasaan akan berterusan sehingga ke Disember sehinggalah awal tahun menjengah, mungkin akan rasa lega dan kes-kes sebutan dan bicara akan kembali pada skala biasa.

Beban sungguh kepala bila dihambat dengan pelbagai dateline bagi hujahan dan pelbagai bicara yang memerlukan persediaan rapi. Setidak-tidaknya sedikit pembacaan tambahan.

Kawan-kawan dah mula bertanya, pergi ke Makan Malam Alumni Fakulti Undang-Undang UKM?. Ntah la. Masih belum sedia nak beri jawapan mahupun undertaking. Dalam seminggu makan malam tersebut saya berada di 3 negeri, Perak, Kelantan dan Selangor. Sebelumnya dah berada di Kelantan bagi Aidiladha.

Abang Joe dah masukkan artikel sinis dan sindiran pasal tak hadir ke Makan Malam tersebut. Elok juga untuk merapatkan jurang pemisah dan kenal-kenal sesama sendiri malam tersebut. Bagus untuk sosial dan bisnes jua..

Orang kata, kerja tak habis. Apa kata awak?

Kes Bicara Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya Dilapangkan Bagi Memberikan Laluan Kes Sambung Bicara

By shams bangi [014-99 33 SSG] on 11/17/2009 04:59:00 AM

komen (0)

Filed Under:

Mahkamah Sesyen hari ini melapangkan tarikh bicara bagi satu kes di bawah Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya setelah pihak Mahkamah mempunyai satu kes sambung bicara yang masih berjalan dan perlu diteruskan atas kemudahan saksi terutama yang telah hadir.

Pihak Mahkamah juga mengambilkira fakta pertuduhan di bawah kesalahan yang tidak boleh dijamin keluar dan dicadangkan satu tarikh bicara awal diberikan. Pihak Mahkamah juga mengambilkira kes lama perlu diutamakan.

Pihak Peguambela turut memaklumkan Mahkamah yang Mulia bahawa kesemua dokumen setakat ini telah dibekalkan oleh pihak Timbalan Pendakwaraya pada pagi ini dan pihak Pembelaan bersedia.

Mahkamah mengambilkira kes tersebut adalah kes tahun 2007 yang mana disebut di Mahkamah Tinggi sebelum ini yang mana kemudiannya dipindahkan ke Mahkamah Sesyen apabila jumlah ketepatan berat bersih dimaklumkan melalui laporan kimia yang dikeluarkan oleh Jabatan Kimia Petaling Jaya.

Sistem Baru Di Mahkamah Rendah Kuala Lumpur

By shams bangi [014-99 33 SSG] on 11/15/2009 10:45:00 AM

komen (1)

Filed Under: , , ,

Mahkamah Kuala Lumpur pada awal November 2009 telah menjalankan satu sistem baru kepada Mahkamah Rendahnya yang mana kini pihak peguam mahupun Defendan yang tidak diwakili oleh peguamcara perlu menghadiri Mahkamah di hadapan Pendaftar tanpa perlu hadir ke Mahkamah asalnya.

Kawan saya ada maklumkan bahawa hari itu ada wakil pihak Kehakiman hadir ke Mahkamah Kuala Lumpur dan melihat ia sebagai sistem yang efektif. Namun bagi saya dan hampir 99.99% melihat ia sebagai "drastic and stupid". Bukan dari sudut idea tetapi dari sudut pelaksanaannya.

Seawal jam 1.30 atau 2.00 petang pihak peguam mahupun Defendan perlu hadir ke pejabat Pendaftaran Mahkamah Majistret dan Sesyen di tingkat B1, Mahkamah Kuala Lumpur yang mana satu kawasan "segi tiga bermuda" bagi Mahkamah Kuala Lumpur kerana satu-satunya kawasan yang tiada coverage telefon. Kalau Defendan nak cari peguam Plaintif pada masa tersebut, "I am sorry lah nyer!"

Peguamcara memenuhi ruang pejabat pendaftaran Mahkamah Majistret dan Sesyen yang mampu memuatkan 100-150 orang. Berita baiknya, saya tidak pernah ruang tersebut dipenuhi atau dihuni melebihi 10 pada satu masa sehingga sistem ini dilaksanakan.

Di situ, peguamcara akan mengambil nombor giliran dan ini akan mengambil masa 1- 3 sebelum nombor tersebut dipanggil. Bila dipanggil, masalah dan kerja anda belum selesai kerana fail tiada dengan kaunter tersebut. Itu alasan yang dimaklumkan oleh mereka. Maka setakat prosiding kecil untuk menjawab Afidavit sekalipun, hatta anda ditugaskan untuk menyebut untuk pihak yang satu lagi, anda akan diberikan nombor satu lagi yang mana peguamcara akan menunggu pula di luar pejabat pendaftaran tersebut bagi hadir ke hadapan Pendaftar. Ada kawan panggil ini sebagai "pasar malam". Kenapa?

Di luar pejabat ini kami akan menunggu selama 1-2 jam lagi. Ia bukan berkenaan giliran tetapi yang mana fail diperolehi terlebih dahulu. Maka rasanya amat tidak efektif untuk membazirkan masa ini untuk satu proses yang mengambil 5-15 saat sahaja untuk mengambil tarikh sebutan.

Sistem tradisional sebelum ini di hadapan jurubahasa hanya mengambil masa 10-30 minit sahaja tertakluk kepada berapa panjang barisan yang ada. Namun yang lebih penting, walaupun peguam terpaksa berlari sedikit ke mahkamah -mahkamah yang berbeza, tetapi pihak peguam mampu menguruskan masa mereka di Mahkamah dengan lebih baik mengikut prioriti dan objektifnya.

Sistem yang diadakan ini saya melihat ia baik untuk mengelakkan korup dari pelbagai sudut mahupun memberikan ruang kepada pihak Mahkamah untuk menjalankan pembicaraan penuh tanpa gangguan seterusnya memberikan peluang pelupusan kes dengan lebih cepat.

Tapi sistem yang ada patut di perbaiki kerana masa adalah penting dan bukankah peguam yang sama mungkin akan terlibat dengan mahkamah lain dalam perbicaraan.. macam mana nak lari atas tu?

Kes Di Tetapkan Untuk Hujahan Di Akhir Pendakwaan

By shams bangi [014-99 33 SSG] on 11/14/2009 10:34:00 PM

komen (0)

Filed Under:

Mahkamah Sesyen hari ini menetapkan tarikh untuk hujahan di akhir kes pendakwaan setelah pihak pendakwaan menutup kes pendakwaan dengan kesemuanya memanggil 7 saksi memberikan keterangan bagi pertuduhan rogol bagi mangsa bawah umur oleh seorang peniaga aksesori telefon pada tahun 2007

Kes tersebut telah memanggil saksi keluarga mangsa termasuk mangsa dan beberapa pegawai polis. Tiada keterangan daripada pihak ahli kimia atas alasan ujian DNA adalah negatif.

Namun pihak pembelaan mengemukakan laporan kimia memandangkan ia positif kepada beberapa DNA asing di tempat kejadian.


Mahkamah Tangguhkan Keputusan Untuk Permohonan Mengenepikan Penghakiman Ingkar

By shams bangi [014-99 33 SSG] on 11/12/2009 04:15:00 PM

komen (0)

Filed Under:

Mahkamah Sesyen hari ini menangguhkan satu keputusan bagi permohonan pihak Defendan bagi mengenepikan satu perintah Penghakiman Ingkar yang diperolehi oleh Plaintif sekitar 5-6 bulan yang lalu atas alasan tidak pernah mengetahui kewujudan prosiding Mahkamah di sini dan juga mempunyai pembelaan yang bermerit kepada Saman dan Pernyataan Tuntutan Plaintif.

Antara lain, pihak Defendan dikatakan hanya mengetahui mengenai perintah tersebut melalui penerimaan satu permohonan Plaintif untuk menghalau Defendan keluar daripada premis perniagaan tersebut.

Sehingga kini perintah tersebut dikatakan tidak pernah diserahkan dan dibuktikan melalui kesemua bukti pos pihak Plaintif tidak sampai kepada pihak Defendan sedangkan premis tersebut dibuka 7 hari seminggu dan berhadapan dengan syarikat pemilik lama premis tersebut.

Penangguhan keputusan itu juga membolehkan pihak Defendan, melalui Tetuan Hisham Nazir & Co membuat klarifikasi dan hujahan tambahan secara bertulis sebelum tarikh keputusan tersebut walaupun berniat untuk membuat secara lisan di Mahkamah yang Mulia apabila kes ditetapkan untuk keputusan.

Kes ini kini di dalam peringkat pelaksanaan bagi mendapatkan satu perintah agar Defendan dapat mengosongkan premis tersebut. Tetapi sebelum permohonan tersebut didengar, permohonan mengenepikan perintah Penghakiman Ingkar dimasukkan oleh pihak Defendan.

Beberapa isu yang bermerit dinyatakan dan ditimbulkan kepada pihak Mahkamah yang Mulia bagi pertimbangan untuk membenarkan permohonan tersebut. Antara lain ialah kontrak sewaan tidak pernah diperbaharui tetapi sewaan dibuat seperti biasa dan pembayaran dan peralihan deposit kepada pemilik baru membuatkan mereka terikat dengan terma yang sedia ada.

Selain daripada itu, pembayaran sewa adalah teratur dan tiada pernah notis diberikan untuk penamatan sewaan. Namun kegagalan pembayaran sewa hanyalah berpunca daripada Plaintif sendiri enggan menerima sewaan kini dan memulangkan beberapa pembayaran yang telah dibuat kepada Plaintif.

Beberapa isu dan pembelaan lain dibuat secara senarai pendek melalui kertas kausa yang terlibat.


Mahkamah Menolak Tuntutan Gantirugi Kemalangan

By shams bangi [014-99 33 SSG] on 11/11/2009 11:24:00 PM

komen (0)

Filed Under:

Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur telah menolak tuntutan pihak Plaintif bagi satu gantirugi akibat kemalangan yang membabitkan kematian ke atas Defendan Kedua iaitu pemilik kenderaan yang terlibat di dalam kemalangan tersebut.

Semasa keputusan dibacakan oleh Hakim Mahkamah Sesyen, Plaintif diwakili oleh YB Manogar manakala peguamcara Defendan, Hisham Nazir terpaksa berada di Mahkamah Tinggi Ipoh bagi satu bicara kes jenayah. Pihak Ketiga yang dibawa oleh pihak Defe dndan Ketiga juga tidak hadir ke Mahkamah yang Mulia.

Keputusan tersebut adalah dibuat selepas perbicaraan penuh dan dibuat setelah meneliti kesemua keterangan lisan yang diberikan oleh kesemua saksi Plaintif, Defendan Kedua dan Pihak Ketiga serta hujahan pihak Plaintif dan Defendan Kedua.

Oleh kerana Mahkamah yang Mulia telah menolak tuntutan Plaintif kepada Defendan Kedua, maka secara tidak langsung tuntutan yang sama Defendan Kedua kepada Pihak Ketiga turut ditolak.

Dalam kes tahun 2002 ini, 6 saksi dipanggil memberikan keterangan dalam 4 hari pembicaraan penuh yang dilangsung pada bulan September dan Oktober 2009.

Rayuan Di Bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan Ditolak, Namun Hukuman Disingkatkan

By shams bangi [014-99 33 SSG] on 11/09/2009 11:45:00 AM

komen (0)

Filed Under:

Mahkamah Tinggi Hari ini menetapkan bagi memberikan keputusannya terhadap satu rayuan kepada sabitan dan hukuman yang dikenakan ke atas seorang pemuda atas kesalahan di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan iaitu rogol.

Hakim Bicara di Mahkamah Sesyen setelah mendengar kesemua keterangan saksi memutuskan pihak OKT adalah bersalah dihukum penjara selama 8 tahun dan 3 sebatan.

Pihak OKT merayu keputusan sabitan dan hukuman tersebut kepada Mahkamah Tinggi dan rayuan telah didengar sebelum ini sebelum menetapkan bagi keputusan pada pagi ini tetapi tiada hujahan tambahan daripada pihak Responden/Pendakwaan dan pihak Perayu/Pembelaan mengemukakan satu perintah Mahkamah Rayuan Malaysia sebagaimana yang diakujanji sebelum ini.

Mahkamah kemudianya telah menangguhkan keputusan pada jam 2.00 petang bagi mempertimbangkan alasan dan perintah yang dikemukakan oleh pihak Perayu/Pembelaan.

Mahkamah bagaimanapun memutuskan menolak rayuan OKT dan mengekalkan sabitan yang diputuskan oleh pihak Hakim Mahkamah Sesyen dan bagaimanapun mengurangkan hukuman penjara kepada 5 tahun sahaja berbanding 8 tahun sebelum ini dan hukuman sebat kekal.

Antara lain yang menjadikan alasan kukuh untuk Hakim Mahkamah Sesyen menyabitkan kesalahan adalah antara bukti kondom yang digunakan adalah positif dengan sperma OKT di dalam kondom tersebut manakala di bahagian luar terdapat cairan vagina dan 'sperma' yang diuji positif DNA milik mangsa.

Pembicaraan Penuh Seksyen 302 Kanun Keseksaan Disambung Disember 2009

By shams bangi [014-99 33 SSG] on 11/07/2009 01:40:00 PM

komen (0)

Filed Under:

Mahkamah Tinggi hari ini menetapkan 5 lagi tarikh lain bagi sambung bicara penuh bagi satu pertuduhan di bawah seksyen 302 Kanun Keseksaan setelah pembicaraan selama 4 hari telah siap dengan 11 orang saksi memberikan keterangan di Mahkamah.

Pihak Mahkamah Tinggi berharap 5 hari yang ditetapkan kelak dapat menyempurnakan kes pendakwaan dengan baki 10 saksi yang lain.

Tarikh-tarikh singkat ditetapkan bagi menyegerakan kes tersebut.

Pilih Peguam, Antara Senioriti & Kualiti

By shams bangi [014-99 33 SSG] on 11/05/2009 08:47:00 AM

komen (0)

Filed Under: ,

Dalam mewakilkan peguam dalam satu-satu prosiding, sudah tentu ramai yang memilih kualiti seorang peguam. Dalam erti kata lain; boleh ke peguam ini buat?

Ada yang menaksirkan kualiti dengan senioriti seorang peguam. Sememangnya ada betulnya pandangan awal tersebut tetapi perlu diambilkira bahawa peguam ada banyak jenis amalannya. Ada yang tertumpu kepada korporat, maka agak keterlaluan untuk mengatakan ada kepakaran dalam bidang perundangan jenayah. Ada yang bertahun melakukan kerja-kerja perundangan Jenayah, maka adalah suatu yang tidak wajar untuk dikatakan berkemahiran dan berkualiti dalam mengendalikan kes-kes sivil.

Malah ada juga segolongan peguam yang hanya terlibat dalam peringkat korporat mahupun pemasaran sahaja. Mungkin melibatkan firma-firma guaman besar dan bos-bos sahaja. Tetapi saya lebih berminat untuk memperkatakan sejauh mana pandangan orang awam (layman) dalam soal senioriti dan kualiti seorang peguam.

Melihat pada persepsi orang awam kini, dalam perundangan jenayah, peguam yang ada nama melalui hebahan media sering dikatakan dan dilabelkan secara terus sebagai peguam hebat. Betul ke pandangan tersebut? Adakah nama baik diperolehi melalui politik, penumpuan pada suatu bidang tertentu atau senioritinya atau mana-mana alasan yang tidak dinyatakan di atas.

Orang awam di Malaysia masih belum matang dalam membuat kajian mengenai peguam dalam mempertimbangkan siapa yang patut menjadi pilihannya. Orang awam masih dilihat memberikan tanggapan bidang perundangan boleh dibuat secara window shopping melalui pertemuan dengan beberapa peguam dan pemilihan akan dibuat berdasarkan hukum yang diberikan atas pertemuan tersebut tanpa mengenali kerja-kerja awal peguam tersebut.

Yang lebih menarik, orang awam kini lebih tertarik kepada beberapa kriteria dalam memilih seorang peguam iaitu Pertama; umur, yang mana lebih tua lebih memberikan kelebihan. Kedua; yuran guaman yang rendah dan Ketiga; Janji manis atau representasi yang menjanjikan sesuatu kebaikan kepada orang awam.

Dalam keadaan semasa, kriteria kedua banyak menentukan faktor pemilihan peguam manakala kriteria ketiga banyak membantu pemilihan dalam memilih peguam mengendalikan perundangan jenayah.

Pada pemerhatian yang dhaif ini, ketiga-tiga kriteria tersebut tidak sepatutnya timbul dalam benak dan hati orang awam dalam menentukan siapa peguam mereka tetapi isu merit dan kompetensi peguam dalam melaksanakan kerja serta mutu kerja yang boleh ditonjolkan selaras dengan balasan yang dipersetujui.

Ada orang kata, "peguam itu selalu disebut-sebut namanya". Maka saya teringat kata-kata seorang senior saya (lupa siapa) biasanya yang glamer tu biasa kalah di Mahkamah. Pernyataan tersebut tidak pernah dihiraukan tetapi bila difikirkan ada betulnya.

Mungkinkah kematangan orang awam dalam memilih peguam akan membiakkan industri perundangan yang lebih jauh?

Rayuan Sebelum Pembicaraan Jenayah - Representasi

By shams bangi [014-99 33 SSG] on 11/04/2009 08:09:00 PM

komen (0)

Filed Under:

Ada ke istilah rayuan jenayah sebelum bicara?

Itu antara satu soalan yang pernah ditanyakan melalui email yang dikatakan seorang mahasiswa di sebuah universiti tempatan. Entah kenapa ditanya soalan sedemikian, saya pun tidak pasti. Yang pasti saya menjawabnya secara ringkas. Selebihnya boleh ditanya melalui pembacaan kerana intipati telah dijawab.

Saya ambil peluang ini untuk menjawab sekali lagi untuk menjawab secara ringkas mengenai isu berkenaan kerana soalan tersebut sekali lagi ditanya oleh seorang peguam yang 'cuba' buat kes jenayah tanpa mempelajarinya melalui pengalaman. Malah yang lebih menarik siap nak minta contoh.

Dalam prosiding pembicaraan jenayah di Malaysia, Mahkamah memberikan peluang kepada pihak Pembelaan untuk membuat satu rayuan atau dalam istilah yang yang lebih tepat ialah representasi kepada pihak Peguam Negara yang mempunyai kuasa dan budibicaraan terhadap kuasa pendakwaan di Malaysia sebagaimana yang termaktub di bawah Perlembagaan Malaysia untuk mempertimbangkan representasi tersebut.

Antara lain tujuan representasi tersebut ialah bagi mengemukakan fakta dan pernyataan yang mungkin boleh membantu pihak Peguam Negara mempertimbangkannya dan membuat keputusan samada ingin meneruskan pendakwaan terhadap Orang Kena Tuduh, mengurangkan kepada satu pertuduhan yang lebih ringan atau pindaan kepada pertuduhan atau memberikan satu pertuduhan pilihan sebagaimana kuasa budibicaranya.

Matlamat representasi juga akan memberikan ruang kepada perbincangan dan rundingan dalam menyelesaikan perkara ini terutama bagi menjimatkan masa pihak-pihak yang terlibat. Rundingan yang dimaksudkan bukan rundingan seperti sivil yang boleh diselesaikan di luar Mahkamah tetapi lebih kepada membantu pihak Peguam Negara mempertimbangan fakta dan pernyataan di dalam representasi yang boleh membantu dalam membuat keputusan segera berkenaan pertuduhan tersebut tanpa menunggu tarikh pembicaraan.

Ekoran daripada representasi tersebut, pihak Pendakwaan iaitu Peguam Negara boleh melepaskan pertuduhan ke atas Orang Kena Tuduh atau meminda satu pertuduhan baru ataupun mengemukakan satu pertuduhan pindaan bagi pertuduhan yang sedia ada.

Antara lain yang biasanya dinyatakan oleh pihak pembelaan dalam representasi tersebut ialah mengenai fakta pertuduhan bersama latarbelakang kesalahan jenayah Orang Kena Tuduh. Fakta-fakta yang mungkin menyebelahi Orang Kena Tuduh yang dinyatakan oleh pihak Pembelaan mungkin boleh membantu dalam pertimbangan pihak Peguam Negara.

Bagi kes-kes kecil melibatkan kes di Mahkamah Majistret dan Sesyen banyak fakta dikemukan dilihat akan menggambarkan satu pembelaan dan fakta sebenar kepada kes tersebut terutama yang mungkin boleh dianggap sebagai kekeliruan dalam fakta yang ada (fakta dan cerita pihak pembelaan). Selain daripada itu, diselitkan isu perundangan dan fakta serta pembuktian yang mungkin boleh dijadikan pertimbangan pihak Peguam Negara.

Bagi kes jenayah yang melibatkan hukuman yang agak berat mahupun satu hukuman mandatori, satu representasi banyak bersandarkan berkenaan isu pembuktian dan perundangan yang ada tanpa menyentuh soal fakta dan cerita yang membayangkan pembelaan pihak Pembelaan.

Oleh kerana dalam kes sedemikian isu pembuktian dan perundangan yang terlibat agak kompleks serta jumlah saksi yang akan terlibat agak ramai, isu pembuktian dan perundangan cukup untuk dipertimbangkan dan dinyatakan melalui representasi bagi pertimbangan pihak Peguam Negara di samping tidak menjejaskan prejudis keadilan dalam pembelaan pihak Orang Kena Tuduh. Ada peguam senior kata "Jangan dok cakap ambush nak buat kat mana!". Boleh pakai ke?

Pelaksanaan dan pertimbangan representasi terbukti memberikan satu pilihan baik dalam melaksanakan keadilan dalam masa singkat tanpa memprejudiskan keadilan kepada mana-mana pihak.

Dalam perkara ini, representasi akan menjimatkan dan kos kesemua pihak iaitu Pembelaan, Pendakwaan, Mahkamah, Saksi-saksi, Jabatan Penjara, Polis Diraja Malaysia mahupun Kerajaan Malaysia sendiri.

Kes Bunuh Di Bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan Mungkin Di Panjangkan Lagi.

By shams bangi [014-99 33 SSG] on 11/04/2009 04:36:00 AM

komen (0)

Filed Under:

Kes pembicaraan di bawah seksyen 302 Kanun Keseksaan yang kini dimulakan pada hari ini mungkin akan diteruskan berlanjutan dengan hasrat Yang Arif Hakim Bicara bagi menyelesaikan kes ini sebelum Disember 2009.

Kes tersebut yang ditetapkan pada 02-05.10.2009 mungkin akan diteruskan sehingga 06.10.2009 dan minggu-minggu hadapan sekiranya kesemua 20 saksi yang dicadangkan tidak dapat selesai memberikan keterangan.

Beberapa cadangan mengenai tarikh minggu hadapan telah diberikan kepada pihak Pendakwaraya Negeri Perak dan pihak Pembelaan (HN&C) bagi kemungkinan pembicaraan diteruskan sekiranya tidak dapat diselesaikan sebelum 06.10.2009. Namun tarikh tambahan masih belum ditetapkan sehingga ditentukan keperluannya.

Representasi juga telah dihantar kepada pihak Pendakwaraya Negeri Perak dan juga kepada Ketua Unit Pendakwaan, Jabatan Peguam Negara bagi pertimbangan segera pihak Jabatan Peguam Negara bagi kes tersebut.

Bagaimanapun, jawapan representasi masih belum diperolehi dan pembicaraan akan dijalankan seperti biasa dan sebagaimana arahan dan hasrat Mahkamah yang Mulia agar kes tersebut boleh dilupuskan sebelum Disember 2009.

Pembicaraan setakat ini, pihak Pendakwaan telah pun memanggil 5 saksi terdiri daripada saksi polis dan saksi awam.